Kedudukan Bahasa Melayu Dipertahan

Pengantar sistem pendidikan negara: Najib PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak berkata, kerajaan tidak pernah berganjak daripada terus menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa perantaraan rasmi dalam sistem pendidikan negara. Timbalan Perdana Menteri berkata, pada masa sama rakyat tidak harus terlalu taksub sehingga menolak unsur daripada tamadun luar yang dapat membantu memperkayakan ilmu, teknologi dan kebudayaan negara.

"Di persimpangan ini, perlu diakui bahawa bahasa Melayu masih lagi dianggap muda dari segi pengistilahan sains dan teknologi berbanding bahasa Inggeris yang diterima sejagat sebagai bahasa ICT (teknologi maklumat dan komunikasi)," katanya berucap pada majlis kemuncak Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu 2009 Piala Timbalan Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, malam tadi. Turut hadir isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. "Pada hemat saya, yang penting dalam menghadapi globalisasi ialah sikap dan pertimbangan rasional kita dalam memilih dan memutuskan perkara yang munasabah untuk dimanfaatkan, bukan menolak asas globalisasi secara melulu," katanya.

Beliau berkata, menerusi sikap itu, bahasa Melayu akan dapat diperkasakan dan berupaya berkembang, khususnya di negara masyarakat penutur seperti Indonesia dan Brunei. Najib berkata, penguasaan bahasa asing tidak semestinya melunturkan jati diri dan daya intelek seseorang, sebaliknya ia akan memperkukuhkan perasaan sayang terhadap bangsa dan bahasanya. "Dalam konteks Malaysia, penguasaan bahasa asing tidak seharusnya dilihat melunturkan kepentingan bahasa Melayu itu sendiri," katanya. Najib juga berkata, dalam era ICT, bahasa Melayu wajar mengambil peluang daripada pembangunan ekonomi berasaskan pengetahuan atau K-Ekonomi untuk menyediakan ruang yang mencukupi kepada masyarakatnya.

"Bahasa Melayu perlu cukup utuh untuk mengemudi masyarakat penuturnya agar bergerak seiring dengan arus pembangunan K-Ekonomi dalam dunia yang semakin kompleks," katanya. Beliau berkata, bahasa Melayu berpotensi untuk dikembangkan di kalangan negara anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan Pergerakan Negara Berkecuali (NAM) dengan memperkenalkannya di institusi pengajian tinggi di sana menerusi pengeksportan ilmu dan kemahiran yang ada pada Malaysia. Dalam negara pula, katanya, institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) perlu mengambil tanggungjawab serius memperkenalkan bahasa dan tamadun Melayu dalam kurikulumnya.
Dipetik Dari Berita Harian Online