4 PELAJAR DIGANTUNG

MUKAH: Jawatankuasa Disiplin Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Oya, Dalat, membuat keputusan menggantung antara tujuh dan 14 hari sesi persekolahan termasuk membuang asrama empat daripada sembilan pelajarnya yang terbabit dalam kejadian membuli seorang pelajar Tingkatan Tiga sekolah yang sama. 

Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Sarawak, Dr Julaihi Bujang, berkata empat pelajar berhadapan hukuman buang asrama dan digantung 14 hari sementara lima pelajar dan mangsa digantung tujuh hari, namun mereka dibenarkan terus tinggal di asrama.
 

Katanya, semua pelajar berkenaan selepas ini akan diarahkan menghadiri sesi kaunseling khas yang akan dikendalikan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Mukah dan pada masa sama pihaknya tidak akan mencampuri urusan polis yang turut menjalankan siasatan ke atas mereka.

"Perbuatan mereka membuli sememangnya sesuatu yang serius namun kami terpaksa berlaku adil kerana tindakan membuang akan hanya menyulitkan keadaan berikutan ada antara mereka dalam persediaan menghadapi peperiksaan penting. 

"Bagaimanapun mereka tidak akan dilepaskan dengan Jawatankuasa Disiplin SMK Oya memutuskan mereka dihukum digantung sekolah antara tujuh dan 14 hari, selain empat dari mereka dibuang serta merta dari asrama sekolah selain diberi amaran keras tidak mengulangi kesalahan ini," katanya ketika ditemui Berita Harian selepas menghadiri mesyuarat bersama ahli jawatankuasa disiplin berkenaan di SMK Oya di sini, semalam.
 

Mesyuarat turut dihadiri Pegawai Pelajaran Daerah Dalat, Tamit Yusof dan Pengetua SMK Oya, Piel Adeng.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang, 16 Februari lalu, sembilan pelajar sekolah berkenaan didapati dengan sengaja menumbuk dan menendang berkali-kali seorang pelajar tingkatan tiga di tingkat bawah asrama sekolah itu selain bertindak merakam kejadian itu dengan menggunakan telefon bimbit berkamera. 

Rakaman kejadian berkenaan kemudian disebarkan ke laman web You Tube pada 23 Februari lalu oleh pihak ketiga menyebabkan keluarga mangsa bertindak membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dalat pada hari yang sama sebelum satu lagi laporan polis mendakwa mangsa mencuri dibuat di balai yang sama Isnin lalu.
 

Julaihi berkata, kejadian berkenaan seharusnya dijadikan pengajaran kepada pelajar berkenaan agar tidak bertindak sesuka hati sehingga berani menyerang dan membelasah pelajar lain walaupun mangsa ada melakukan kesalahan.
 

"Sekiranya ada antara mereka yang terpaksa dibuang, sudah semestinya pelajar yang dilihat menggunakan cerek besi menghentak mangsa akan menerima hukuman paling berat namun saya rasa hukuman ini sudah dianggap wajar berikutan kesalahan ini dilakukan secara bersama.

"Mereka semua mempunyai masa hadapan yang baik dengan tindakan membuang sekolah hanya akan menyebabkan mereka ketinggalan dari segi pelajaran sedangkan sekolah ini adalah antara yang terbaik di kawasan luar bandar negeri ini," katanya yang turut melawat asrama sekolah SMK Oya. 

Mengulas mengenai siasatan yang dilakukan pihak polis, Julaihi berkata, pihaknya tidak akan mencampuri urusan pihak berkenaan berikutan mereka sudah selesai merakam percakapan ke atas semua pelajar dan mangsa berikutan terdapat laporan rasmi mengenainya dibuat.
 

"Pihak sekolah sudah memberikan kerjasama pada polis bagi menjalankan siasatan dan tidak wajar kami mencampuri urusan berkenaan.
Biar polis mengesan siapa sebenarnya yang menghantar rakaman kejadian kepada laman web di internet dan mengambil tindakan lanjut. 

"Selepas ini, kami akan mengatur satu majlis bagi membolehkan keluarga pelajar dan mangsa bertemu dan bermaafan bagi mendamaikan keadaan," katanya.

 Dipetik Dari : Berita Harian Online