Oleh Prof Dr Ibrahim Komoo
CUKUP bukti saintifik yang menunjukkan tindak tanduk manusia melaksanakan pembangunan ketika ini menuju ke arah ketidaklestarian. Kualiti alam sekitar sedang mengalami kemerosotan, sumber asli - tenaga dan bahan asas - semakin berkurangan, sumber air dan udara semakin tercemar.
Pada masa yang sama, kadar kemiskinan penduduk dunia bertambah, dan jurang perbezaan antara yang kaya dan miskin semakin meluas. Manusia masih berkelakuan sama - tidak ada salahnya cara kita membangun sekarang. Alam sekitar tidak memerlukan manusia, tetapi manusia memerlukan alam sekitar untuk terus hidup di permukaan bumi ini.
Warga dunia yang prihatin sedar aliran pembangunan yang membimbangkan ini akan membawa seluruh warga dunia menuju ke arah kemusnahan. Dalam Persidangan Kemuncak Bangsa-bangsa Bersatu di Rio de Janeiro pada 1992, satu deklarasi mengenai alam sekitar dan pembangunan telah dipersetujui kebanyakan negara dunia, termasuk Malaysia. Pada prinsipnya, pemimpin dunia sepakat melaksanakan Agenda 21 iaitu sebuah agenda pembangunan abad ke-21 yang akan memberikan perhatian kepada pembangunan lestari.
Apa itu pembangunan lestari? Secara prinsip pembangunan lestari boleh ditakrifkan sebagai pembangunan yang memenuhi keperluan masyarakat semasa tanpa menyekat keupayaan generasi akan datang untuk memenuhi keperluan mereka. Walaupun kenyataan ini nampaknya mudah, usaha menterjemahkan program dan aktiviti pembangunan bersifat lestari adalah sukar dan kompleks. Ia menuntut perubahan set minda dan pengukuhan iltizam dari semua golongan pihak berkepentingan - ahli politik, pembuat dan pelaksana dasar, pihak peniaga, dan masyarakat awam.
Malaysia respons kepada keperluan berubah ke arah pembangunan lestari dengan pelbagai cara. Di peringkat institusi, perancangan pembangunan ekonomi mula memberikan perhatian kepada keperluan memulihara alam sekitar dan sumber asli. Sesetengah agensi pelaksana memulakan peranannya dengan memperkenalkan konsep kelestarian sektoral - mengambil kira unsur kelestarian dalam sektor pembangunan masing-masing.
Di UKM umpamanya, kami menubuhkan Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (Lestasi) pada 1994. Lestasri berusaha menyelidik dan memberikan latihan bagi membolehkan pendekatan, kemahiran dan pengetahuan melaksanakan pembangunan lestari disalurkan kepada pelbagai pihak berkepentingan, terutama kepada institusi pembuat dan pelaksana dasar.
Selepas lebih 15 tahun Deklarasi Rio dilaksanakan oleh kebanyakan negara dunia, aliran pembangunan bersifat tidak lestari berterusan. Bagi kebanyakan negara, terutama Malaysia, cabaran utama melaksanakan agenda pembangunan lestari ialah:
Sistem pendidikan di peringkat sekolah hingga ke universiti adalah bersifat ‘disiplin’ atau sektor. Oleh itu, kemahiran berfikir dan cara membuat keputusan kebanyakan warga juga bersifat disiplin dan berasas sektor. Pembangunan lestari pada umumnya menuntut tindakan bersifat holistik dan berintegrasi. Pendekatan dan tindakan pembangunan lestari memerlukan keupayaan berfikir secara multidisiplin dan rentas sektor. Oleh itu, keupayaan melaksanakan perancangan pembangunan lestari sangat terbatas;
Sistem governan yang diwarisi sejak zaman British lagi juga bersifat sektor. Agensi pembuat dan pelaksana dasar diwujudkan untuk melaksanakan aktiviti pembangunan bersifat sektor, antaranya pertanian, perlombongan, perhutanan, kesihatan, pendidikan dan perindustrian. Semua sektor ini mempunyai hubungan rapat antara satu sama lain, dan saling berkaitan antara sektor memainkan peranan penting menjayakan agenda pembangunan lestari; dan
Model pembangunan negara adalah berteraskan ‘pembangunan ekonomi’, dan pembangunan sosial dan alam sekitar dilihat daripada perspektif pengukuhan ekonomi negara. Walaupun pertumbuhan ekonomi adalah satu daripada komponen kelestarian yang penting, tanpa mengimbangi keperluan memperkukuhkan kesejahteraan masyarakat dan pemuliharan alam sekitar - asas pertumbuhan ekonomi akan menjadi rapuh dan secara jangka panjang akan memusnahkan kelestarian sesuatu komuniti, bangsa atau negara.
Tuntutan melaksanakan agenda pembangunan lestari sangat sukar dan kompleks, terutama bagi negara yang sedang membangun yang mana pengukuhan ekonomi adalah keutamaan mereka. Bagaimanapun, secara jangka panjang tiada negara dapat meminggirkan isu genting ini kerana ia membabitkan hidup mati warga dunia.
Antara tindakan susulan melaksanakan agenda pembangunan lestari oleh kebanyakan negara ialah melakar dasar dan perancangan bersesuaian; menyediakan strategi peralihan daripada pendekatan sektoral kepada holistik; melaksanakan program dan aktiviti penting berkaitan pembangunan lestari; dan membangunkan keupayaan individu dan institusi untuk melaksana agenda ini.
Pembangunan keupayaan, khususnya melalui program pendidikan untuk pembangunan lestari dilihat sebagai kunci kejayaan mengubah set minda masyarakat ke arah kelestarian. Oleh itu, Bangsa-bangsa Bersatu melalui Unesco sebagai agensi pengeraknya telah mengisytiharkan 2005 - 2014 sebagai Dekad Pendidikan untuk Pembangunan Lestari. Di Malaysia, USM telah mengambil inisiatif mempelopori gagasan pendidikan untuk pembangunan lestari melalui pewujudan sebuah pusat dan melaksanakan beberapa program di peringkat kebangsaan dan rantauan.
Umumnya, pendidikan untuk pembangunan lestari memberikan perhatian kepada usaha mengintegrasikan prinsip, nilai dan amalan pembangunan lestari ke dalam semua aspek pendidikan dan pembelajaran. Pendekatan pendidikan, sama ada formal, tidak formal dan bukan formal kepada semua golongan masyarakat - pelajar dan masyarakat awam - dilihat sebagai strategi jangka panjang paling kritikal bagi mengubah set minda masyarakat memahami dan menghayati isu kelestarian, serta mengambil tindakan positif melaksanakan agenda pembangunan lestari.
Pembangunan lestari memberikan tumpuan beberapa prinsip universal merentas budaya, agama dan bangsa. Prinsip ini perlu diterapkan dalam semua disiplin ilmu yang didedahkan kepada pelajar dan masyarakat. Beberapa prinsip penting yang boleh diterapkan ialah:
Berhati-hati - tindakan yang telah diambil sebelum memperoleh bukti saintifik sesuatu itu boleh memberi impak negatif kepada alam sekitar atau kesejahteraan komuniti lazimnya akan mengakibatkan kerosakan yang luar dugaan terhadap masyarakat dan alam. Ini adalah tindakan ’mementingkan diri dan tidak adil’ kepada generasi akan datang;
Saling bergantung - masyarakat, ekonomi dan alam sekitar tabii adalah saling bergantung. Semua hidupan, termasuk manusia bergantung antara satu sama lain, mereka dijalin melalui kitaran tabii dan sistem ekologi;
Kualiti kehidupan dan keadilan - kualiti kehidupan bergantung kepada sistem ekonomi, sosial dan alam sekitar yang menghasilkan komuniti semasa dan akan datang yang sihat, produktif dan mempunyai makna hidup. Semua manusia mempunyai hak dan peluang yang sama untuk meneruskan kualiti hidup yang boleh diterima;
Keupayaan tampungan - keupayaan tampungan sesuatu ekosistem ialah jumlah penduduk yang boleh ditampung secara berterusan tanpa memudaratkan sumber dan perkhidmatan yang diberikan ekosistem tersebut; dan
Warga dunia - semua manusia adalah warga dunia yang menggunakan sumber asli terhad, yang mengamalkan kepenggunaan mencemar dan menyebabkan degradasi alam sekitar. Manusia perlu bersifat warga dunia yang bertanggungjawab.
Komponen di atas lazimnya terabai apabila pendidikan tertumpu kepada objektif dan kandungan disiplin ilmu. Pendidikan pembangunan lestari boleh diterapkan secara beransur dalam sistem pendidikan negara. Pada peringkat awal prinsip, nilai dan amalan boleh diterapkan dalam semua mata pelajaran dan disiplin pendidikan. Bagaimanapun, akhirnya pendidikan lestari perlu memberikan tumpuan kepada hubung kait antara disiplin dan pembinaan kurikulum yang bersifat integrasi dan holistik.
Individu, komuniti, masyarakat dan bangsa yang terdidik mengenai pembangunan lestari adalah penggerak utama untuk melihat pembangunan sesebuah negara secara lestari dan benteng terakhir mempertahankan bumi daripada terus termusnah oleh tindak tanduk manusia.
Dipetik Dari : Berita Harian Online