Showing posts with label (E) e-Akhbar. Show all posts
Showing posts with label (E) e-Akhbar. Show all posts

Penyanyi 'Sayang Kinabalu' Meninggal Dunia

2010/06/02

KOTA KINABALU: Penyanyi tempatan Sabah, Kimin Mudin, yang popular dengan lagu "Sayang Kinabalu", sebuah lagu Dusun yang dijadikan popular khusus bagi mempromosi pelancongan di Sabah, meninggal dunia akibat masalah jantung di Hospital Likas dekat sini awal hari ini.

Kimin, 46, yang juga abang kepada pencipta dan penulis lirik lagu popular Asmin Mudin, menghembuskan nafas terakhirnya pada 1.35 pagi selepas dimasukkan ke hospital itu malam tadi.
Asmin, 40, berkata, Kimin yang berasal dari Kampung Kelatuan, Papar mengadu sesak nafas selepas mandi di rumahnya di Kampung Rampaian Menggatal pada kira-kira 10 malam.
"Isterinya kemudian menghantarnya ke Hospital Likas. Semasa dirawat di sana, abang saya kemudian pengsan dan disahkan meninggal pada jam 1.35 pagi," katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Orang Islam Jalan Kepayan, dekat sini hari ini.

Turut berada di tanah perkuburan itu ialah para artis tempatan Sabah termasuk Abu Bakar Ella.

Nama Kimin mula dikenali ramai selepas membawa lagu Sayang Kinabalu ciptaan Asmin pada 2000 dan pada 2004, pengurusan Skyline mengambil alih tugas untuk mempromosi album yang memuatkan lagu Sayang Kinabalu.

Asmin yang turut mencipta lagu Kau Ilham Ku, Anggapanmu, Gemilang yang masing-masing pernah dipopularkan oleh Man Bai, Ziana Zain dan Jacklyn Victor, berkata setakat ini jualan album Sayang Kinabalu sudah mencecah sekitar 50,000 unit.
Kimin dikurniakan tujuh cahaya mata termasuk dua lelaki. - Bernama

Dipetik Dari Berita Harian Online

SELESEMA BABI KINI SAMPAI KE ASIA

HONG KONG: Kes pertama selesema babi di Asia apabila seorang pengembara Mexico disahkan positif menghidap virus H1N1 di Hong Kong, hari ini. Ia menyebabkan seluruh hotel tempat penginapan pelancong itu di sini, terpaksa disita dan dikuarantinkan.
Berita mengenainya menandakan berulangnya kes virus Sindrom Pernafasan Yang Teruk (SARS) pada 2003 dengan Beijing mengambil tindakan segera menggantung semua penerbangan dari Mexico ke Shanghai, lapor media China, hari ini. Denmark dan Perancis juga termasuk dalam senarai negara terbaru disahkan mempunyai wabak selesema babi. Ketua Eksekutif Hong Kong, Donald Tsang terus mengumumkan wilayah itu kini diletakkan dari tahap amaran serius kepada tahap kecemasan berikutan perkembangan terbaru itu.
Agensi berita Xinhua berkata, Beijing menutup semua penerbangan antara Mexico dan Shanghai.
Dipetik Dari : Berita Harian Online (02/05/09)

Pendidikan Untuk Pembangunan Lestari

Oleh Prof Dr Ibrahim Komoo

CUKUP bukti saintifik yang menunjukkan tindak tanduk manusia melaksanakan pembangunan ketika ini menuju ke arah ketidaklestarian. Kualiti alam sekitar sedang mengalami kemerosotan, sumber asli - tenaga dan bahan asas - semakin berkurangan, sumber air dan udara semakin tercemar. 

Pada masa yang sama, kadar kemiskinan penduduk dunia bertambah, dan jurang perbezaan antara yang kaya dan miskin semakin meluas. Manusia masih berkelakuan sama - tidak ada salahnya cara kita membangun sekarang. Alam sekitar tidak memerlukan manusia, tetapi manusia memerlukan alam sekitar untuk terus hidup di permukaan bumi ini. 

Warga dunia yang prihatin sedar aliran pembangunan yang membimbangkan ini akan membawa seluruh warga dunia menuju ke arah kemusnahan. Dalam Persidangan Kemuncak Bangsa-bangsa Bersatu di Rio de Janeiro pada 1992, satu deklarasi mengenai alam sekitar dan pembangunan telah dipersetujui kebanyakan negara dunia, termasuk Malaysia. Pada prinsipnya, pemimpin dunia sepakat melaksanakan Agenda 21 iaitu sebuah agenda pembangunan abad ke-21 yang akan memberikan perhatian kepada pembangunan lestari.


Apa itu pembangunan lestari? Secara prinsip pembangunan lestari boleh ditakrifkan sebagai pembangunan yang memenuhi keperluan masyarakat semasa tanpa menyekat keupayaan generasi akan datang untuk memenuhi keperluan mereka. Walaupun kenyataan ini nampaknya mudah, usaha menterjemahkan program dan aktiviti pembangunan bersifat lestari adalah sukar dan kompleks. Ia menuntut perubahan set minda dan pengukuhan iltizam dari semua golongan pihak berkepentingan - ahli politik, pembuat dan pelaksana dasar, pihak peniaga, dan masyarakat awam. 

Malaysia respons kepada keperluan berubah ke arah pembangunan lestari dengan pelbagai cara. Di peringkat institusi, perancangan pembangunan ekonomi mula memberikan perhatian kepada keperluan memulihara alam sekitar dan sumber asli. Sesetengah agensi pelaksana memulakan peranannya dengan memperkenalkan konsep kelestarian sektoral - mengambil kira unsur kelestarian dalam sektor pembangunan masing-masing. 

Di UKM umpamanya, kami menubuhkan Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (Lestasi) pada 1994. Lestasri berusaha menyelidik dan memberikan latihan bagi membolehkan pendekatan, kemahiran dan pengetahuan melaksanakan pembangunan lestari disalurkan kepada pelbagai pihak berkepentingan, terutama kepada institusi pembuat dan pelaksana dasar.

Selepas lebih 15 tahun Deklarasi Rio dilaksanakan oleh kebanyakan negara dunia, aliran pembangunan bersifat tidak lestari berterusan. Bagi kebanyakan negara, terutama Malaysia, cabaran utama melaksanakan agenda pembangunan lestari ialah: 

  • Sistem pendidikan di peringkat sekolah hingga ke universiti adalah bersifat ‘disiplin’ atau sektor. Oleh itu, kemahiran berfikir dan cara membuat keputusan kebanyakan warga juga bersifat disiplin dan berasas sektor. Pembangunan lestari pada umumnya menuntut tindakan bersifat holistik dan berintegrasi. Pendekatan dan tindakan pembangunan lestari memerlukan keupayaan berfikir secara multidisiplin dan rentas sektor. Oleh itu, keupayaan melaksanakan perancangan pembangunan lestari sangat terbatas; 

  •  Sistem governan yang diwarisi sejak zaman British lagi juga bersifat sektor. Agensi pembuat dan pelaksana dasar diwujudkan untuk melaksanakan aktiviti pembangunan bersifat sektor, antaranya pertanian, perlombongan, perhutanan, kesihatan, pendidikan dan perindustrian. Semua sektor ini mempunyai hubungan rapat antara satu sama lain, dan saling berkaitan antara sektor memainkan peranan penting menjayakan agenda pembangunan lestari; dan 

  •  Model pembangunan negara adalah berteraskan ‘pembangunan ekonomi’, dan pembangunan sosial dan alam sekitar dilihat daripada perspektif pengukuhan ekonomi negara. Walaupun pertumbuhan ekonomi adalah satu daripada komponen kelestarian yang penting, tanpa mengimbangi keperluan memperkukuhkan kesejahteraan masyarakat dan pemuliharan alam sekitar - asas pertumbuhan ekonomi akan menjadi rapuh dan secara jangka panjang akan memusnahkan kelestarian sesuatu komuniti, bangsa atau negara.

    Tuntutan melaksanakan agenda pembangunan lestari sangat sukar dan kompleks, terutama bagi negara yang sedang membangun yang mana pengukuhan ekonomi adalah keutamaan mereka. Bagaimanapun, secara jangka panjang tiada negara dapat meminggirkan isu genting ini kerana ia membabitkan hidup mati warga dunia. 

    Antara tindakan susulan melaksanakan agenda pembangunan lestari oleh kebanyakan negara ialah melakar dasar dan perancangan bersesuaian; menyediakan strategi peralihan daripada pendekatan sektoral kepada holistik; melaksanakan program dan aktiviti penting berkaitan pembangunan lestari; dan membangunkan keupayaan individu dan institusi untuk melaksana agenda ini. 

    Pembangunan keupayaan, khususnya melalui program pendidikan untuk pembangunan lestari dilihat sebagai kunci kejayaan mengubah set minda masyarakat ke arah kelestarian. Oleh itu, Bangsa-bangsa Bersatu melalui Unesco sebagai agensi pengeraknya telah mengisytiharkan 2005 - 2014 sebagai Dekad Pendidikan untuk Pembangunan Lestari. Di Malaysia, USM telah mengambil inisiatif mempelopori gagasan pendidikan untuk pembangunan lestari melalui pewujudan sebuah pusat dan melaksanakan beberapa program di peringkat kebangsaan dan rantauan. 

    Umumnya, pendidikan untuk pembangunan lestari memberikan perhatian kepada usaha mengintegrasikan prinsip, nilai dan amalan pembangunan lestari ke dalam semua aspek pendidikan dan pembelajaran. Pendekatan pendidikan, sama ada formal, tidak formal dan bukan formal kepada semua golongan masyarakat - pelajar dan masyarakat awam - dilihat sebagai strategi jangka panjang paling kritikal bagi mengubah set minda masyarakat memahami dan menghayati isu kelestarian, serta mengambil tindakan positif melaksanakan agenda pembangunan lestari. 

    Pembangunan lestari memberikan tumpuan beberapa prinsip universal merentas budaya, agama dan bangsa. Prinsip ini perlu diterapkan dalam semua disiplin ilmu yang didedahkan kepada pelajar dan masyarakat. Beberapa prinsip penting yang boleh diterapkan ialah: 

  •  Berhati-hati - tindakan yang telah diambil sebelum memperoleh bukti saintifik sesuatu itu boleh memberi impak negatif kepada alam sekitar atau kesejahteraan komuniti lazimnya akan mengakibatkan kerosakan yang luar dugaan terhadap masyarakat dan alam. Ini adalah tindakan ’mementingkan diri dan tidak adil’ kepada generasi akan datang; 

  •  Saling bergantung - masyarakat, ekonomi dan alam sekitar tabii adalah saling bergantung. Semua hidupan, termasuk manusia bergantung antara satu sama lain, mereka dijalin melalui kitaran tabii dan sistem ekologi; 

  •  Kualiti kehidupan dan keadilan - kualiti kehidupan bergantung kepada sistem ekonomi, sosial dan alam sekitar yang menghasilkan komuniti semasa dan akan datang yang sihat, produktif dan mempunyai makna hidup. Semua manusia mempunyai hak dan peluang yang sama untuk meneruskan kualiti hidup yang boleh diterima; 

  •  Keupayaan tampungan - keupayaan tampungan sesuatu ekosistem ialah jumlah penduduk yang boleh ditampung secara berterusan tanpa memudaratkan sumber dan perkhidmatan yang diberikan ekosistem tersebut; dan 

  •  Warga dunia - semua manusia adalah warga dunia yang menggunakan sumber asli terhad, yang mengamalkan kepenggunaan mencemar dan menyebabkan degradasi alam sekitar. Manusia perlu bersifat warga dunia yang bertanggungjawab. 

    Komponen di atas lazimnya terabai apabila pendidikan tertumpu kepada objektif dan kandungan disiplin ilmu. Pendidikan pembangunan lestari boleh diterapkan secara beransur dalam sistem pendidikan negara. Pada peringkat awal prinsip, nilai dan amalan boleh diterapkan dalam semua mata pelajaran dan disiplin pendidikan. Bagaimanapun, akhirnya pendidikan lestari perlu memberikan tumpuan kepada hubung kait antara disiplin dan pembinaan kurikulum yang bersifat integrasi dan holistik. 

    Individu, komuniti, masyarakat dan bangsa yang terdidik mengenai pembangunan lestari adalah penggerak utama untuk melihat pembangunan sesebuah negara secara lestari dan benteng terakhir mempertahankan bumi daripada terus termusnah oleh tindak tanduk manusia.

    Dipetik Dari : Berita Harian Online
  • GURU BI DISIMBAH ASID

    KUALA LUMPUR: Seorang guru Bahasa Inggeris nyaris buta mata kanan selepas disimbah dengan cecair dipercayai asid oleh lelaki yang menunggang motosikal di luar pintu pagar Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Bandaraya di sini, petang kelmarin. 

    Mangsa, 25 tahun yang tidak mahu namanya disiarkan terpaksa dikejarkan ke Pusat Perubatan Hospital Universiti Malaya (PPUM) selepas mata kanannya dimasuki cecair itu.
     

    Ketika kejadian jam 4 petang itu, mangsa sedang menunggu suami untuk pulang ke rumah, bersama beberapa pelajar sekolah.

    Katanya, ketika itu seorang lelaki menaiki motosikal jenis Honda, berpakaian hitam dan memakai topi keledar berpenutup penuh masuk ke kawasan sekolah. 

    "Saya ingatkan dia sedang mencari anaknya. Dia kemudian memberhentikan motosikal berhampiran saya dan mengeluarkan botol mineral mengandungi cecair berwarna merah dan menuangkannya ke dalam cawan plastik sebelum mencurahnya ke arah muka saya. Dia kemudian melarikan diri menaiki motosikalnya.
     

    "Saya terkejut dan meraung kesakitan selepas cecair itu memasuki mata dan terkena muka. Terasa pedih amat sangat seperti terbakar, selain sesak nafas.

    "Saya berlari masuk dan mencuci muka. Malah, baju saya juga berlubang akibat terkena cecair itu," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam. 

    Akibat kejadian itu, kornea matanya 70 peratus terbakar, manakala kulit bawah matanya turut melecur.
     

    Beliau tidak menolak kemungkinan menjadi mangsa keadaan.
     

    Katanya, kira-kira seminggu lalu, berlaku salah faham antara sekumpulan pelajar dengan seorang guru lain di sekolah itu.

    Katanya, kejadian itu mungkin menyebabkan timbul perasaan tidak puas hati di kalangan pelajar terbabit dan mengambil tindakan sedemikian seperti membalas dendam. 

    "Selama satu tahun dua bulan mengajar di sekolah ini, saya tiada musuh atau memarahi sesiapa yang boleh mengakibatkan timbul perasaan tidak puas hati.
     

    "Saya tak tahu motif sebenar tetapi kes ini sudah dilaporkan kepada polis," katanya.
     

    "Doktor yang merawat memberikan cuti kecemasan dan perlu mendapatkan rawatan pakar mata dari semasa ke semasa," katanya. 

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Talib yang dihubungi mengesahkan kejadian itu.
     

    Katanya, polis akan menyiasat motif serangan dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields di talian 03-22742222.

     Dipetik Dari : Berita Harian Online

    4 PELAJAR DIGANTUNG

    MUKAH: Jawatankuasa Disiplin Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Oya, Dalat, membuat keputusan menggantung antara tujuh dan 14 hari sesi persekolahan termasuk membuang asrama empat daripada sembilan pelajarnya yang terbabit dalam kejadian membuli seorang pelajar Tingkatan Tiga sekolah yang sama. 

    Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Sarawak, Dr Julaihi Bujang, berkata empat pelajar berhadapan hukuman buang asrama dan digantung 14 hari sementara lima pelajar dan mangsa digantung tujuh hari, namun mereka dibenarkan terus tinggal di asrama.
     

    Katanya, semua pelajar berkenaan selepas ini akan diarahkan menghadiri sesi kaunseling khas yang akan dikendalikan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Mukah dan pada masa sama pihaknya tidak akan mencampuri urusan polis yang turut menjalankan siasatan ke atas mereka.

    "Perbuatan mereka membuli sememangnya sesuatu yang serius namun kami terpaksa berlaku adil kerana tindakan membuang akan hanya menyulitkan keadaan berikutan ada antara mereka dalam persediaan menghadapi peperiksaan penting. 

    "Bagaimanapun mereka tidak akan dilepaskan dengan Jawatankuasa Disiplin SMK Oya memutuskan mereka dihukum digantung sekolah antara tujuh dan 14 hari, selain empat dari mereka dibuang serta merta dari asrama sekolah selain diberi amaran keras tidak mengulangi kesalahan ini," katanya ketika ditemui Berita Harian selepas menghadiri mesyuarat bersama ahli jawatankuasa disiplin berkenaan di SMK Oya di sini, semalam.
     

    Mesyuarat turut dihadiri Pegawai Pelajaran Daerah Dalat, Tamit Yusof dan Pengetua SMK Oya, Piel Adeng.

    Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang, 16 Februari lalu, sembilan pelajar sekolah berkenaan didapati dengan sengaja menumbuk dan menendang berkali-kali seorang pelajar tingkatan tiga di tingkat bawah asrama sekolah itu selain bertindak merakam kejadian itu dengan menggunakan telefon bimbit berkamera. 

    Rakaman kejadian berkenaan kemudian disebarkan ke laman web You Tube pada 23 Februari lalu oleh pihak ketiga menyebabkan keluarga mangsa bertindak membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dalat pada hari yang sama sebelum satu lagi laporan polis mendakwa mangsa mencuri dibuat di balai yang sama Isnin lalu.
     

    Julaihi berkata, kejadian berkenaan seharusnya dijadikan pengajaran kepada pelajar berkenaan agar tidak bertindak sesuka hati sehingga berani menyerang dan membelasah pelajar lain walaupun mangsa ada melakukan kesalahan.
     

    "Sekiranya ada antara mereka yang terpaksa dibuang, sudah semestinya pelajar yang dilihat menggunakan cerek besi menghentak mangsa akan menerima hukuman paling berat namun saya rasa hukuman ini sudah dianggap wajar berikutan kesalahan ini dilakukan secara bersama.

    "Mereka semua mempunyai masa hadapan yang baik dengan tindakan membuang sekolah hanya akan menyebabkan mereka ketinggalan dari segi pelajaran sedangkan sekolah ini adalah antara yang terbaik di kawasan luar bandar negeri ini," katanya yang turut melawat asrama sekolah SMK Oya. 

    Mengulas mengenai siasatan yang dilakukan pihak polis, Julaihi berkata, pihaknya tidak akan mencampuri urusan pihak berkenaan berikutan mereka sudah selesai merakam percakapan ke atas semua pelajar dan mangsa berikutan terdapat laporan rasmi mengenainya dibuat.
     

    "Pihak sekolah sudah memberikan kerjasama pada polis bagi menjalankan siasatan dan tidak wajar kami mencampuri urusan berkenaan.
    Biar polis mengesan siapa sebenarnya yang menghantar rakaman kejadian kepada laman web di internet dan mengambil tindakan lanjut. 

    "Selepas ini, kami akan mengatur satu majlis bagi membolehkan keluarga pelajar dan mangsa bertemu dan bermaafan bagi mendamaikan keadaan," katanya.

     Dipetik Dari : Berita Harian Online

    Keputusan STPM 2008

    STPM 2008 Catat 0.65 Peratus Peningkatan Calon Lulus

    KUALA LUMPUR: Jumlah calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2008 yang lulus penuh (peringkat prinsipal) meningkat sebanyak 0.65 peratus berbanding tahun sebelumnya dengan peningkatan peratusan penggunaan bahasa Inggeris ketika menjawab soalan sebanyak 0.8 peratus. Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia, Profesor Datuk Dr Dzulkifli Abdul Razak, berkata seramai 46,277 atau 92.26 peratus calon lulus penuh bagi sekurang-kurangnya satu mata pelajaran berbanding 56,963 atau 91.61 peratus pada 2007. Katanya, jumlah yang dinyatakan itu meliputi 53,638 calon yang menduduki peperiksaan STPM pada 12 November hingga 4 Disember lalu di 751 buah pusat peperiksaan di seluruh negara.

    "Daripada analisis keputusan peperiksaan STPM 2008, jurang antara prestasi calon bandar dan luar bandar masih ketara dengan calon bandar yang mendapat 5A, 4A dan 3A adalah 10.39 peratus berbanding calon luar bandar 6.77 peratus," katanya pada majlis pengumuman keputusan STPM 2008 di sini, hari ini. Dalam analisis keputusan STPM 2008, calon bandar aliran sastera yang mendapat 5A, 4A, 3A adalah sebanyak 9.01 peratus berbanding calon luar bandar iaitu 6.15 peratus, namun terdapat sedikit peningkatan daripada calon luar bandar bagi aliran sains yang mendapat 5A, 4A, 3A iaitu sebanyak 14.81 peratus berbanding calon bandar yang hanya 12.99 peratus. Dr Dzulkifli berkata, peratusan pelajar yang menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya ketika menjawab soalan tahun lalu ialah 92.7 peratus berbanding hanya 91.9 peratus pada 2007.

    Bagaimanapun, jumlah pelajar yang lulus gred A dalam lima dan empat mata pelajaran masing-masing masih mencatatkan penurunan dengan hanya 13 pelajar mendapat prinsipal A dalam lima mata pelajaran berbanding 25 pelajar pada 2007. "Daripada jumlah itu, 10 orang adalah pelajar sains, manakala tiga lagi pelajar aliran sastera," katanya. Daripada keseluruhan 53,638 calon STPM tahun lalu, 46,319 atau 86.35 peratus adalah calon sekolah kerajaan, 2,189 (4.08 peratus) adalah calon swasta manakala 5,130 (9.56 peratus) calon persendirian individu. Semua calon boleh mendapatkan keputusan mereka di sekolah masing-masing bermula tengah hari ini kecuali calon persendirian yang akan menerima melalui pos, selain melayari laman web www.mpm.edu.my atau SMS di talian 39003. - Bernama
    Dipetik Dari Berita Harian Online (10.Mac.2009)

    Kedudukan Bahasa Melayu Dipertahan

    Pengantar sistem pendidikan negara: Najib PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak berkata, kerajaan tidak pernah berganjak daripada terus menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa perantaraan rasmi dalam sistem pendidikan negara. Timbalan Perdana Menteri berkata, pada masa sama rakyat tidak harus terlalu taksub sehingga menolak unsur daripada tamadun luar yang dapat membantu memperkayakan ilmu, teknologi dan kebudayaan negara.

    "Di persimpangan ini, perlu diakui bahawa bahasa Melayu masih lagi dianggap muda dari segi pengistilahan sains dan teknologi berbanding bahasa Inggeris yang diterima sejagat sebagai bahasa ICT (teknologi maklumat dan komunikasi)," katanya berucap pada majlis kemuncak Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu 2009 Piala Timbalan Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, malam tadi. Turut hadir isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. "Pada hemat saya, yang penting dalam menghadapi globalisasi ialah sikap dan pertimbangan rasional kita dalam memilih dan memutuskan perkara yang munasabah untuk dimanfaatkan, bukan menolak asas globalisasi secara melulu," katanya.

    Beliau berkata, menerusi sikap itu, bahasa Melayu akan dapat diperkasakan dan berupaya berkembang, khususnya di negara masyarakat penutur seperti Indonesia dan Brunei. Najib berkata, penguasaan bahasa asing tidak semestinya melunturkan jati diri dan daya intelek seseorang, sebaliknya ia akan memperkukuhkan perasaan sayang terhadap bangsa dan bahasanya. "Dalam konteks Malaysia, penguasaan bahasa asing tidak seharusnya dilihat melunturkan kepentingan bahasa Melayu itu sendiri," katanya. Najib juga berkata, dalam era ICT, bahasa Melayu wajar mengambil peluang daripada pembangunan ekonomi berasaskan pengetahuan atau K-Ekonomi untuk menyediakan ruang yang mencukupi kepada masyarakatnya.

    "Bahasa Melayu perlu cukup utuh untuk mengemudi masyarakat penuturnya agar bergerak seiring dengan arus pembangunan K-Ekonomi dalam dunia yang semakin kompleks," katanya. Beliau berkata, bahasa Melayu berpotensi untuk dikembangkan di kalangan negara anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan Pergerakan Negara Berkecuali (NAM) dengan memperkenalkannya di institusi pengajian tinggi di sana menerusi pengeksportan ilmu dan kemahiran yang ada pada Malaysia. Dalam negara pula, katanya, institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) perlu mengambil tanggungjawab serius memperkenalkan bahasa dan tamadun Melayu dalam kurikulumnya.
    Dipetik Dari Berita Harian Online

    Isu PPSMI

    Selesai Segera Isu PPSMI

    Oleh : Zulkofli Jamaludin dan Anwar Hussin

    BERIBU-RIBU penyokong gerakan membantah pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) mengingkari arahan polis apabila terus berdegil berarak ke Istana Negara untuk menyerahkan memorandum, semalam.


    PM jamin ambil kira desakan rakyatKUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu Kementerian Pelajaran mengambil keputusan segera berhubung isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) bagi mengelakkan isu lebih besar tercetus. Perdana Menteri berkata, kerajaan menyedari ada desakan kuat daripada rakyat, khususnya orang Melayu supaya isu PPSMI diselesaikan segera.

    "Isu PPSMI ini sudah menjadi isu yang besar dan sensitif. Kerajaan mengakui desakan rakyat dan mengambil perhatian terhadapnya. "Saya berharap Kementerian Pelajaran mengambil keputusan segera kerana jika tidak, tekanan dan tindakan NGO (badan bukan kerajaan) akan berterusan dan menjadi lebih besar lagi," katanya pada sidang media selepas melancarkan novel fantasi Dragonfire Hammer karya penulis muda berusia 14 tahun, Adam Umemoto, di sini semalam. Petang semalam, perhimpunan membantah pelaksanaan PPSMI di ibu kota yang disertai ribuan penyokong, bertukar kecoh apabila kumpulan berkenaan berarak ke Istana Negara bagi menyerahkan memorandum bantahan, walaupun Polis Kuala Lumpur sebelum ini hanya membenarkan mereka berkumpul di Masjid Negara.


    Kumpulan terbabit yang pada awalnya berkumpul di perkarangan masjid berkenaan, Pasar Seni dan Kompleks Sogo, untuk mengadakan bantahan secara aman, mengingkari arahan polis dengan berarak beramai-ramai ke arah Istana Negara. Bagaimanapun, selepas keadaan terkawal, Pengerusi Gerakan Memansuhkan PPSMI (GMP), Datuk Dr Hassan Ahmad dan Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said serta beberapa ahli jawatankuasa lain, dibenar menyerahkan memorandum itu kepada wakil Istana Negara. Abdullah berkata, Kementerian Pelajaran sudah menemui beberapa NGO berhubung isu berkenaan, tetapi beliau difahamkan kementerian belum bersedia mengumumkan keputusan yang akan diambil. Katanya, kajian mengenai pelaksanaan PPSMI sudah dilakukan Kementerian Pelajaran, termasuk mengambil kira keputusan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).


    "Saya percaya keputusan peperiksaan itu akan memberi asas kepada Kementerian Pelajaran untuk membuat keputusan. Saya percaya keputusan itu akan mengukuhkan kepentingan rakyat dan masa depan kita," katanya. Sementara itu, Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, kertas Kabinet PPSMI sudah siap untuk dibawa kepada Jemaah Menteri dengan menjurus melihat dasar pelaksanaan di peringkat sekolah rendah dan kawasan luar bandar. "Pandangan mereka (pakar pendidikan dan pencinta bahasa) yang sudah diluahkan pada sesi meja bulat dan melalui memorandum, adalah pandangan yang boleh dan sudah kita ambil kira. "Sekali lagi menjadi tanda tanya, mengapa enam tahun selepas pelaksanaannya baru hendak buat laporan polis dan mempertikaikan perkara ini dalam konteks Perlembagaan. Selepas enam tahun baru hendak buat perhimpunan," katanya. Bagaimanapun, beliau tidak memberitahu bila kertas Kabinet itu akan dibincangkan Jemaah Menteri. Hishammuddin berkata, apa pun keputusan Kabinet, pelaksanaannya hanya boleh dilakukan tahun depan bermula dengan murid Tahun Satu. Beliau berkata, pihak yang terbabit membangkitkan isu PPSMI perlu berhenti seketika melihat keadaan sebenar yang berlaku di negara ini dan tanya siapa sebenarnya menimbulkan isu berkenaan.


    Dipetik Dari Berita Harian Online